Komen Hari Merdeka 2004 - Warung Ikan Bakar
Pada tahun ini, ada sedikit kelainan. Selain daripada perarakan besar-besaran , bunga api, dan beribu-ribu bendera Jalur Gemilang (sama ada dikibarkan dengan rela atau paksa), Hari Merdeka negara kita juga akan disambut dengan tayangan filem tempatan yang paling besar sekali iaitu Puteri Gunung Ledang (PGL).
Pada saya, sambutan dan sikap terhadap filem tempatan Melayu ini pada hari Merdeka nanti boleh mencerminkan tahap pemikiran dan warna sosial masyarakat Malaysia, yang kononnya sudah merdeka 47 tahun.
Puteri Gunung Ledang (PGL) adalah sebuah produksi yang terhasil daripada cita-cita tinggi, dan keinginan yang kuat daripada mereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang perfileman untuk menghasilkan sesuatu yang betul-betul indah, bermakna, dan bertaraf antarabangsa. Saya pasti sudah lama kita disajikan dengan filem-filem tempatan yang cetek dan berkualiti rendah, sehingga jika ditayangkan di arena antarabangsa, pasti malu habis.
Budaya substandard :- Mari kita senaraikan produksi-produksi tempatan yang sememangnya bertaraf rendah dan jauh di belakang apabila dibandingkan dengan negara lain; Kereta nasional Proton, filem-filem tempatan seperti Gerak Khas, Mr. Cinderella, saluran televisyen RTM1 dan RTM 2, atlit-atlit negara terutamanya yang main badminton dan bola sepak, ahli-ahli politik, parti-parti politik, mentaliti Parlimen, penuntut-penuntut universiti tempatan, institusi pengajian tinggi awam, sektor perkhidmatan awam, jalan raya dan lebuh raya (MRR2), dan banyak lagi. Filem PGL merupakan sesuatu yang bertujuan mengoyakkan selaput substandard ini.
Bagi saya, filem ini patut disokong habis-habisan kerana cita-citanya yang tinggi dan semangat untuk mengikis budaya substandard kita yang sudah menjadi begitu tebal dan sudah menjadi suatu kebiasaan.
Masyarakat majmuk dan idea bangsa Malaysia? Jika boleh, saya akan membuat suatu kajian sosio-demografi ke atas semua orang yang sudi membeli tiket untuk menonton PGL. Saya hendak tahu peratusan penonton mengikut kaum, mengikut umur, mengikut pekerjaan, mengikut jenis persekolahan, dan mengikut tempat tinggal.
Tentulah, masyarakat Melayu sudah tentu akan mengunjungi pawagam untuk menghayati filem ini tetapi bagaimana dengan mereka yang bukan Melayu yang memang pada kebiasaannya kurang membeli tiket filem Melayu tempatan ? NTV7 dan WAFM (radio bahasa Cina) hangat mengiklankan PGL sejak sebulan lalu. Terdapat iklan yang berbahasa Melayu, Cina dan Inggeris. Deejay WAFM, KK dan Chui Ling pada setiap pagi akan mengajak pendengar untuk ramai-ramai menonton PGL pada hari Merdeka nanti. MTV dan lagu "Asmaradana" dimainkan dengan kerap di NTV 7 dan WAFM. Tetapi adakah ini mencukupi untuk menarik mereka yang bukan Melayu untuk memberi peluang kepada PGL?
Pada pendapat saya, PGL adalah jauh lebih berbaloi untuk ditontoni jika dibandingkan dengan filem-filem luar negara yang cetek dan tidak berasas seperti filem Hong Kong Twins Effects dan Six Strong Guys yang pasti akan mendapat sambutan orang Cina, dan filem Hollywood seperti Catwoman dan sebagainya. Tetapi, cukupkah masyarakat Cina yang bersetuju dengan saya?
Semua orang boleh faham bahasa Melayu, semua pemuda-pemudi yang pernah belajar prosa Klasik dalam subjek Bahasa Malaysia sepatutnya tahu serba-sedikit mengenai Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang and Sultan Mansur, dan ramai orang yang suka pergi ke pawagam tengok wayang, tetapi mampukan PGL menjadi filem No.1 negara pada hari Merdeka nanti?
Bersediakah mereka mengikis perbezaan perkauman, bahasa dan budaya untuk memberi peluang kepada PGL? Kerajaan suka sangat puji diri sendiri kerana berjaya memupuk suatu masyarakt majmuk yang harmoni, dan sebuah bangsa Malaysia, tetapi sama ada kita benar-benar sudah sebati, lihatlah sambutan terhadap PGL pada minggu depan.
Saya sudah bertanya kepada adik saya, teman sebilik saya, dan beberapa orang kawan Cina. Dengan kecewa sekali saya mendapati ketujuh-tujuh mereka tidak berminat untuk menonton filem ini. Sebab yang diberikan - tidak minat Bahasa Melayu dan tidak rasa PGL akan lebih baik daripada kebanyakan filem-filem Melayu sebelum ini yang agak buruk.
Akhir kata:- Mungkin saya 'over-react' dengan filem PGL. Mungkin PGL cumalah produksi yang sedikit luarbiasa, dan tidak lebih daripada itu. Mungkin, tetapi mungkin juga pendapat saya ini ada kesahihannya.
Pada saya, memang malu dan sedih sekali kalau kita lebih minat produksi bahasa asing seperti Sepanyol, Korea, Hindi dan Jepun (yang kebanyakan daripada kita perlu bergantung kepada sarikata untuk memahami maksudnya) tetapi bukan sebuah produksi bahasa Melayu yang dibuat dengan bersungguh-sungguh untuk nikmat seluruh negara. Jika ini suatu kenyataan, maka kita tidaklah sebegitu 'MERDEKA' yang dilaungkan.
Pada era globalisasi kini, tidak mudah untuk mempertahankan kedaulatan ekonomi, kedaulatan politik dan kedaulatan kewangan. Semuannya ini boleh runtuh walaupun di sebuah negara yang merdeka. Namun, apabila kita hilang rasa bangga dan setia kepada negara Malaysia, maka benarlah hilang erti kemerdekaan negara. Tiada gunanya kita ada Litar Sepang jika kita cuma minat lihat kereta Ferrari menang pada setiap perlumbaan dan tidak impikan suatu hari nanti pasukan Petronas dan pemandu tempatan boleh menang begitu juga. Tidak gunanya kita ada KLCC Twin Towers jika semua eksekutif-eksekutif di setiap pejabat di sana adalah orang asing. Tidak gunanya kita ada ini ada itu, tetapi tidak mempunyai daya saing dan daya fikiran yang bertaraf antarabangsa, dan yang paling penting sekali, rasa bangga dan semangat berjuang demi maruah negara Malaysia.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home